fbpx
Cart is empty

Isi Kandungan

Isu beg sekolah berat boleh dikategorikan sebagai satu isu perdebatan yang tidak akan ada penghujungnya. Ada pihak yang mengatakan bahawa ianya adalah isu yang remeh, ada pihak yang bersetuju bahawa ini merupakan satu masalah yang perlu dicari jalan keluar dan tidak kurang juga pihak yang mengatakan bahawa murid-murid sekolah sekarang terlalu manja!

 

Berat Saranan

Dr. Anuar Ahmad, seorang pensyarah dari Pusat Kajian Pendidikan & Kesejahteraan Komuniti UKM telah memberikan saranan beliau iaitu berat maksimum yang sewajarnya dipikul oleh seorang individu haruslah tidak melebihi 10% daripada keseluruhan berat badan.

Manakala bagi beg tarik pula ianya tidak seharusnya melebihi 20%. 

Sebagai contoh, jikalau seorang pelajar itu mempunyai anggaran berat iaitu sebanyak 30 kilogram, maka berat beg yang dipikul seharusnya tidak melebihi 3 kilogram.

 

Kesan Kesihatan

Mengapa isu ini perlu dititikberatkan? 

Kerana ianya berkait rapat dengan keadaan kesihatan anak-anak ini dan kesannya hanya akan dapat dilihat setelah mereka menempuh alam dewasa kelak. 

Terdapat individu-individu yang mendapati diri mereka menghidap sakit yang berkait rapat dengan tulang belakang mereka dan ianya amat mengejutkan apabila mereka diberitahu oleh para doktor dan pakar perubatan bahawa sakit yang mereka alami itu berkemungkinan besar disebabkan oleh muatan beg berat yang telah mereka pikul selama bertahun-tahun di sekolah dahulu.

Isu kesihatan bukan satu isu yang remeh. Ini bukan soal manja atau malas semata-mata. 

Kesihatan murid-murid merupakan aspek yang sangat penting dan ia juga menjadi tanggungjawab bagi semua pihak yang berkaitan untuk memastikan ianya terpelihara.

 

Pandangan Umum

Mengikut sebuah catatan peribadi di laman Facebook seorang guru yang bernama Mohd Fadli Salleh, beliau berkongsi bahawa murid tahun 1 mempunyai rata-rata 6 subjek dalam satu hari pembelajaran. 

Apabila setiap subjek perlu mempunyai sekurang-kurangnya 3 buah buku iaitu buku teks, buku latihan dan buku tulis, maka keseluruhan buku yang perlu digalas oleh anak tahun 1 ini adalah sebanyak 18 buah buku dan ianya adalah dalam tempoh 1 hari! 

Dapatkah kita bayangkan diri kita sendiri memikul 18 buah buku menaiki tangga bertingkat-tingkat pergi dan balik dari sekolah selama 5 hari berturut-turut? 

Dapatkah kita membayangkan apa perasaan dan keadaan mereka ini?

“Ala, manja betul budak-budak sekarang! Aku dulu beg berat juga. Jadi juga orang. Belajar sampai universiti. Kerja pun bagus.”

Apabila kita mengulas isu beg berat ini, ayuh lah kita bersikap objektif terhadap isu ini dan janganlah kita terlalu mengagungkan apa yang salah dan perlu diberikan perhatian dan tindakan yang sewajarnya. 

Apabila kita cuba menyelami apakah alternatif atau tindakan yang boleh diambil oleh semua pihak, kita perlulah melihat isu ini sebagai satu isu yang perlu dimainkan peranan oleh setiap pihak yang bertanggungjawab seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pihak sekolah, pihak persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) dan banyak lagi. 

Semua pihak harus berganding bahu dalam memastikan isu ini dapat diselesaikan dengan baik.

 

Isu Terkait

Jadi apa sebenarnya yang boleh kita lakukan? 

“Mana sekolah nak cekau duit nak beli loker pula!”

“Persatuan Ibu Bapa dan Guru tidak mempunyai peruntukkan yang mencukupi, tidak semua ibu bapa yang mampu menambah lagi jumlah bayaran sumbangan PIBG”

“Kalau kami berikan kelonggaran untuk murid-murid meninggalkan buku di sekolah, pasti hilang atau rosak!” 

dan banyak lagi alasan-alasan yang sebenarnya tidaklah sepenuhnya salah. 

Kebimbangan setiap pihak ini merupakan kebimbangan yang relevan dan ada benarnya.

 

Bilangan Subjek

Jadi apakah yang dapat kita lakukan untuk menyelesaikan masalah ini? Mengikut perbandingan bilangan subjek antara negara Malaysia bersama negara-negara maju seperti Finland, United Kingdom (UK), New Zealand dan banyak lagi, ia jelas menunjukkan bahawa sekolah rendah di Malaysia mempunyai jumlah subjek yang begitu banyak iaitu 15 subjek kesemuanya! 

Seperti pelajar sekolah rendah di Finland mereka hanya mempunyai 5 hingga 6 subjek sahaja. 

Apabila kita mempunyai jumlah subjek yang terlampau banyak, kualiti pembelajaran juga akan terganggu secara tidak langsung. 

Jadual pembelajaran murid-murid akan menjadi semakin padat lalu menyebabkan anak-anak perlu memikul beg yang dipenuhi dengan buku-buku yang diperlukan untuk hari sekolah pada hari tersebut. 

Ini merupakan satu perkara yang membimbangkan dan juga menyedihkan kerana ini akan menyebabkan murid-murid menghadapi kepenatan yang melampau hanya daripada memikul beg sahaja!

Selain itu, terdapat juga negara-negara maju yang kita dapat saksikan bahawa murid-murid mereka tidak perlu membawa sebarang buku atau alat tulis langsung kerana semuanya telah disediakan oleh pihak sekolah! 

Kebanyakkan sekolah di negara-negara ini sangat mengikut rapat dengan falsafah pendidikan mereka iaitu untuk memberikan pendidikan yang berkualiti dan juga mempunyai persekitaran yang selesa dan seronok bagi mereka semua menikmati proses pembelajaran yang lebih efektif. 

Amat malang sekali jika dibandingkan dengan negara kita.

 

Bukan Isu Remeh

Isu beg berat ini walaupun bagi ramai orang dan banyak pihak mengatakan ianya nampak remeh dan tidaklah terlampau penting jika nak dibandingkan dengan isu-isu lain yang lebih besar dan mustahak. 

Tetapi sebenarnya daripada isu yang nampak remeh dan kecil ini lah dimana perubahan itu boleh direalisasikan dan seterusnya mampu memberikan permulaan yang baik kepada transformasi menyeluruh bagi landskap pendidikan di negara kita

Isu beg berat ini tidak hanya terhad kepada jumlah subjek, jumlah buku yang dipikul, kesihatan dan lain-lain sahaja. Tetapi isu beg berat ini juga perlu dikaji dengan lebih mendalam agar sesi pembelajaran murid-murid sekolah dapat ditambahbaik seiring dengan pembangunan teknologi dan juga mengikut peralihan zaman yang berbeza dengan landskap pendidikan sejak berpuluh tahun dahulu lagi. 

Isu ini sebenarnya membuka ruang dan peluang kepada banyak lagi penambahbaikan yang harus disegerakan dan diberikan tindakan yang sewajarnya oleh setiap pihak yang terlibat.


Shopping Basket