Kesan Peperiksaan Kepada Pelajar dan Guru

KESAN PEPERIKSAAN KEPADA PELAJAR DAN GURU

Peperiksaan sejak sekian lama menjadi satu kayu ukur kepada kecemerlangan pelajar di sekolah. Semua pihak rata-ratanya sanggup berhabis segala harta dan benda demi memastikan kejayaan pelajar dalam peperiksaan.

Definisi peperiksaan ialah satu ujian untuk menguji tahap kefahaman pelajar dalam silibus yang telah ditetapkan dalam kalendar akademik. Pelajar perlu menjawab soalan-soalan yang telah disediakan di tempat dan waktu yang telah ditetapkan.

Pada zaman sekarang, peperiksaan memainkan peranan penting dalam halatuju kerjaya dan masa depan pelajar. Pengaruh besar keputusan peperiksaan dalam mencorakkan masa depan pelajar menjadikan ianya satu hal yang sangat ditakuti oleh sebahagian besar pelajar.

Antara kesan peperiksaan yang pertama, meningkatkan masalah tekanan perasaan dalam kalangan pelajar. Mengikut kajian yang dijalankan oleh American Psychological Association pada tahun 2014, rata-rata pelajar dalam lingkungan 13-17 tahun mengalami gejala stress yang sangat tinggi. Sebahagiannya lebih daripada yang dialami oleh orang dewasa.

Hal ini terjadi bukanlah disebabkan oleh pembelajaran itu sendiri, namun para ibu bapa yang mempunyai jangkaan melampau terhadap pencapaian anak-anak dalam peperiksaan.

Lebih-lebih lagi sistem pendidikan di negara kita yang berpaksikan peperiksaan, membuatkan para ibu bapa seolah-olah berlawan sesama sendiri untuk menunjukkan anak siapa yang lebih hebat, anak siapa yang lebih cemerlang. Apa yang lebih parah, kegagalan anak-anak dalam peperiksaan dianggap menjadi punca kepada jatuhnya air muka kedua orang tua.

Anak mana yang tidak tertekan sewaktu masuk ke dewan peperiksaan memikirkan beban malu yang akan ditanggung oleh kedua orang tuanya jika dia gagal dalam peperiksaan?

Jika sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan masih diteruskan di Malaysia, pihak pertama yang perlu melakukan refleksi adalah ibu bapa itu sendiri untuk tidak terlalu mengharapkan anak-anak mendapat ‘perfect score’ dalam peperiksaan. Mentaliti “kalau boleh dapat gred A, kenapa nak berpuas hati dengan gred B” adalah satu mentaliti yang akan merosakkan kesejahteraan mental sang anak itu sendiri.

Para ibu bapa seharusnya perlu kembali jujur kepada diri sendiri, timbunan A yang kita kejar ini, sebenarnya untuk kebaikan masa depan anak-anak, ataupun untuk kepuasan kedua orang tua semata-mata?

Kesan peperiksaan yang kedua adalah membunuh kreativiti pelajar. Sebagaimana yang kita sedia maklum, sistem pendidikan di negara ini berteraskan kepada pencapaian pelajar sebagai matlamat akhir. Dalam bahasa yang lebih mudah, berapa banyak A yang pelajar berjaya dapatkan, atau berapa tinggi pointer yang berjaya anak-anak kita capai.

Struktur pendidikan sebegini memberi fokus kepada meminimumkan kesalahan, menjadi yang terbaik, serta mendapat gred yang tinggi. Manakala dari segi penilaian, sistem ini akan membuat perbandingan sesama pelajar dan meletakkan pelajar dalam susunan mengikut pencapaian dalam peperiksaan.

Kajian menunjukkan situasi begini akan membawa beberapa keburukan kepada para pelajar. Antaranya adalah kebarangkalian untuk melihat kesilapan dan kesalahan sebagai tanda kepada sebuah kegagalan, selain mengalami paras kebimbangan yang tinggi serta mudah untuk berputus asa jika menghadapi kesukaran.

Malah mereka juga lebih cenderung untuk mensabotaj diri sendiri seperti menipu untuk mendapatkan keputusan yang baik serta malu untuk bertanya kerana tidak mahu meminta bantuan ketika perlu. Apa yang penting pada pandangan semua pihak adalah pada ranking ke berapa namanya akan berada.

Tidak pelik jika pada hari ini, kita melihat orang dewasa kebanyakannya sering memfokuskan kepada intensiti semata-mata. Berapa banyak buku yang sudah dibaca, atau berapa banyak kilogram yang berjaya diturunkan. Siapa yang berjaya membeli rumah pertama sebelum berumur 30, atau siapa yang berjaya membeli kereta berjenama sebagai kereta pertama.

Ini adalah hasil daripada sistem pendidikan yang selama belasan tahun hanya berfokuskan kepada pencapaian semata-mata. Kita tidak lagi melihat kepada kepentingan percaya kepada proses, menikmati setiap kejayaan-kejayaan kecil dan memberi peluang kepada diri untuk gagal.

Dr Othman Talib pernah memuat naik hantaran tentang bagaimana skema jawapan peperiksaan menjadi antara medan pembonsaian kreativiti murid. Boleh ke pautan beliau di sini.

Kesan peperiksaan yang seterusnya adalah bebanan yang tergantung pada pundak para guru yang menjadi mangsa kepada permasalahan sistemik. Sudah menjadi ‘open secret’ di Malaysia di mana sistem pendidikan sedia ada begitu menekan guru dari segenap arah untuk memastikan rekod kecemerlangan pelajar akan sentiasa meningkat dari masa ke semasa.

Isu seperti memalsukan data bagi tujuan mencantikkan laporan prestasi pelajar menjadi cerminan kepada runtuhnya nilai-nilai moral dan integriti dalam sistem pendidikan di negara kita. Kita secara tidak langsung memperjudikan nasib satu generasi anak-anak. Dalam kebanyakan waktu, guru tidak mempunyai pilihan selain mengikut arahan pihak atasan dalam memastikan rekod prestasi sekolah sentiasa cantik dan memuaskan.

Hal ini ditempelak oleh Hasrizal Abdul Jamil menerusi video YouTube nya di mana beliau secara sinis bertanyakan “Kome nak tipu siapa sebenarnya?” kepada pegawai-pegawai atasan daripada PPD dan JPN seluruh Malaysia sewaktu dijemput memberikan ucapan dalam satu mesyuarat di Putrajaya.

Urusan pendidikan menurut Hasrizal adalah untuk memberi peluang kepada anak-anak belajar. Malah fokus utama pendidikan juga mestilah tidak dapat tidak, berpaksikan kepada pelajar itu sendiri, dan bukannya untuk mencantikkan segala macam laporan peperiksaan, prestasi pelajar, dan segala macam data yang dipalsukan demi memuaskan hati pihak-pihak tertentu.

Tidak dapat tidak, golongan yang ditekan dengan segala bentuk kaedah, latih tubi, latihan, dan laporan adalah para guru yang terpaksa melakukan kerja-kerja mendidik serta dalam masa yang sama turut dipertanggungjawabkan dengan kerja-kerja pengdokumentasian. Akhirnya, yang cantik hanyalah sebatas dokumentasi.

Dalam masa yang sama, walaupun sebahagian besar waktu terpaksa dihabiskan untuk menyiapkan kerja-kerja dokumentasi yang renyah dan memenatkan, kerja-kerja pendidikan yang merupakan tugas hakiki seorang guru juga tetap perlu diteruskan seperti biasa dan secara lebih masa; termasuk hari minggu dan hari cuti am.

Rekod prestasi pelajar dalam peperiksaan menjadi indikator kepada kejayaan sesebuah sekolah, pentadbiran, dan juga pegawai-pegawai tertinggi dalam sektor pendidikan. Lantaran terdesak untuk memastikan rekod prestasi saban tahun berada dalam graf menaik, para guru hilang kreativiti dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana sibuk mengejar waktu untuk menghabiskan silibus pelajaran yang sudah ditetapkan.

Kelas-kelas tambahan, latih-tubi, latihan, dan segala macam program terpaksa direncanakan tanpa mengambil kira kesihatan mental para guru. Segalanya bagi memastikan pelajar ‘berjaya’ menjawab soalan peperiksaan mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh pihak atasan.

Konklusinya, sistem peperiksaan bukanlah perlu dihapuskan secara total, namun pihak berwajib perlu kembali merenung untuk siapa sistem pendidikan ini dilaksanakan. Apakah kita betul-betul ingin membangunkan modal insan ataupun sekadar berbangga dengan kejayaan demi kejayaan walaupun akhirnya ianya tidak memberikan manfaat kepada jati diri dan kesihatan mental pelajar.

Kesan-kesan peperiksaan kepada pelajar dan guru perlu dilihat secara tuntas kerana pendidikan adalah satu hal yang tidak dapat kita kompromi. Jika tersalah aturan, kita mengorbankan satu generasi pewaris negara. Pendidikan tidak seharusnya menjadi punca kepada tekanan perasaan pelajar. Sekolah juga tidak sepatutnya menjadi tempat di mana kreativiti pelajar dibungkam dan dibenam. Dalam masa yang sama, guru sebagai pelaksana dan pendidik, tidak perlu dibebankan dengan perkara remeh temeh sehingga menjejaskan fokus utama mereka; mendidik.

Kajian demi kajian sudahpun dilakukan oleh banyak pihak. Terbaru, Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara telah menyediakan laporan lengkap dan cadangan-cadangan halatuju sistem pendidikan negara. Selebihnya adalah sejauh mana ‘political will’ para pembuat dasar dalam memastikan sistem pendidikan negara kita berjaya melahirkan insan yang mampu memberi manfaat kepada keluarga, masyarakat, dan negara.

Tags: No tags

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *