Seorang yang banyak cakap tiba-tiba jadi pendiam. Lemau dan tak bersemangat. Anda pernah alami tak situasi begitu? Mesti rasa pelik kan?
Itulah yang saya rasa bila mula sahaja kelas secara maya kami pada hari itu. Bagi jer salam, pelajar cilik saya tu jawab salam tanpa pandang mata saya pun.
Saya dah rasa pelik dan lain macam. Tak nak fikir banyak, saya teruskan kelas seperti biasa.
Kami buat aktiviti yang dah saya susun untuk kelas kami pada hari itu dan seperti biasa dia akan baca dan ikut arahan dengan baik.
Kalaulah saya nak kaitkan suasana kelas pada hari tu dengan rasa mesti tawar jer.
Perasaan ingin tahu itu ada sebenarnya, macam orang duk cuit-cuit suruh tanya apa pelajar cilik saya itu mempunyai masalah. Nak dijadikan cerita, kononnya cuba nak jadi positif sangat maka saya masih biarkan ia kekal misteri.
Ditambah lagi dengan riuh suara kanak-kanak yang menjadi seakan musik latar kelas kami membuatkan saya terfikir mungkin dia penat bermain.
Bila saja habis suku masa kedua iaitu setengah jam pertama dari sejam kelas kami tu, seperti biasa saya akan luangkan masa untuk bermain permainan online bersama.
Semasa saya duk termangu oleh kerana komputer riba saya yang dah uzur disebabkan usia tuanya itulah saya terdengar suara si cilik memanggil saya dengan suara yang halus dan tak pasti.
Saya yang tengah berkerut kening dengan mulut sedikit termuncung ala-ala memberi fokus yang tinggi pada komputer riba yang membuat pertandingan siapa lagi lambat dengan kura-kura imaginasi saya tu, terus tersentak bila mendengar suaranya.
Saya nak cuba terangkan apa yang saya rasa bila dia panggil saya masa tu tapi saya bukanlah penglipur lara yang mampu menterjemahkan emosi dalam bait-bait tulisan.
Apa yang saya boleh kongsikan dari nada panggilan itu adalah rasa terdesak, sedih, tetapi masih dibelenggu ketidakpastian.
Rupa-rupanya! Masalah yang menggangu si cilik sehingga kehilangan fokus adalah gelongsor merah jambu yang baru dibeli oleh orang tuanya.
Isunya adalah warna. Dia mahukan gelongsor berwarna biru tetapi adik perempuannya mahukan warna merah jambu. Dia memberitahu ibu bapanya memujuknya untuk mengalah disebabkan dia adalah abang.
Dia bukanlah mengadu untuk merengek tetapi dia seakan mahukan kepastian bahawa keputusan itu adalah tepat dan sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai abang untuk mengalah dan gelongsor tersebut boleh digunakan walaupun berwarna merah jambu.
Dia terlihat matang tetapi pada masa yang sama dia masih kelihatan sebagai kanak-kanak yang lemah yang memerlukan orang dewasa untuk membantunya meleraikan apa yang berselirat di hati dan fikirannya.
Masalah itu mungkin remeh pada kita tapi besar pada pandangan si kecil. Saya terfikir andai masalah yang dialaminya lebih teruk, adakah saya masih menjadi orang yang dipercayainya untuk berkongsi?
Masalah yang terlihat kecil itu sudah mengganggu fokusnya pada pelajaran. Saya selalu mendengar ungkapan ‘seronoknya menjadi kanak-kanak yang bebas dari masalah’ tetapi apakah benar kanak-kanak bebas dari sebarang masalah?
Pada saya, kanak-kanak ataupun pelajar tidak terlepas dari mempunyai masalah. Cuma, ia dari sudut pandang yang berbeza. Jadi, pada orang dewasa ia terlihat remeh dan bukanlah suatu masalah.
Sebagai salah seorang pendidik, saya tertanya-tanya apakah peranan guru dalam menghadapi situasi sebegini?
Andai kita sebagai orang dewasa ataupun pendidik meluangkan masa barang seketika untuk mendengar luahan hati mereka adakah mungkin kita mampu membawa suatu perubahan ke atas mereka?
Saya percaya apabila seseorang pelajar menyandang gelaran pelajar bermasalah, ia pasti mengundang gelisah di hati para guru dalam menghadapi kerenah mereka.
Pelajar bermasalah ini pastinya akan menimbulkan kekacauan dan mengganggu suasana pembelajaran dan juga pelajar lain.
Adakah pelajar bermasalah ini hanya membuat masalah ataupun sebenarnya mereka menyembunyikan masalah yang mereka hadapi dengan membuat kekacauan?
Sebagai orang dewasa, pernahkah kita cuba kenal pasti adakah mereka pemangsa ataupun sebenarnya mangsa?
Begitu banyak kes buli, cabul dan gangguan seksual serta tidak terkecuali kes dera ke atas pelajar dan kanak-kanak sejak dahulu lagi. Saya begitu takut apabila ada antara kes-kes tersebut membawa kepada kematian.
Tak terbayang betapa takutnya mangsa-mangsa tersebut. Adakah mereka pernah meminta pertolongan atau memberitahu sesiapa apa yang mereka alami sebelum ia menjadi seburuk itu?
Saya tahu dan sedar sememangnya sudah terlalu banyak usaha yang dijalankan bagi membendung perkara itu tetapi ia sememangnya sesuatu yang sukar dan memerlukan kerjasama dari banyak pihak.
Perkongsian si cilik membuka mata saya. Ibu bapa sememangnya sosok yang paling dipercayai oleh si anak tetapi selepas mereka, adakah guru orang yang mereka percayai? Adakah guru boleh menjadi orang yang akan mereka cari jika terjebak dengan masalah?
Adakah guru salah seorang yang hadir di dalam kotak fikiran mereka untuk mengadu tentang apa yang mereka alami ataukah guru terlihat sebagai orang asing yang hanya menjadi tempat untuk menimba ilmu?
Begitu banyak persoalan yang timbul dan untuk mencari jawapannya bukanlah mudah. Saya bukanlah orang yang boleh menyelesaikan masalah buli, dera, cabul ataupun gangguan seksual ke atas pelajar.
Apa yang boleh saya lakukan adalah mainkan peranan saya sebagai guru yang mampu menjadi tempat ataupun orang yang boleh dipercayai oleh pelajar.
Saya mampu untuk luangkan masa barang seketika untuk bertanya khabar dan berkongsi rasa. Pada saya, tidak salah jika kita curi sedikit masa untuk berbual kosong sekadar bertanya tentang aktiviti harian mereka ataupun tentang apa sahaja yang mampu menarik minat mereka.
Saya yakin guru mampu membawa perubahan walau sekecil apa sekalipun dalam kehidupan seorang pelajar. Gelaran pelajar bermasalah mampu kita hindari andai kena dengan caranya.
Pandanglah pelajar anda, lihatlah raut wajahnya dan selamilah hatinya. Semoga perkongsian ini mampu membawa perubahan bukan sahaja untuk guru-guru tetapi juga untuk para pelajar.
Add a Comment