5 CARA MEMUPUK ANAK MINAT MEMBACA DARI USIA KECIL

5 CARA MEMUPUK ANAK MINAT MEMBACA DARI USIA KECIL

Isi Kandungan

Membaca merupakan satu aktiviti yang dapat banyak memberikan manfaat dan faedah kepada setiap individu yang melakukannya. 

 

Membaca bukan sahaja akan mengisi masa lapang kita tetapi dengan membaca juga sebenarnya kita dapat meluaskan pandangan sudut pemikiran kita tentang pelbagai perkara disamping dapat menambah ilmu pengetahuan yang sangat menarik.

 

Ini sama seperti apa yang dikatakan oleh seorang penulis buku kanak-kanak yang sohor iaitu Dr. Seuss dimana beliau mengatakan bahawa 

 

“The more that you read, the more things you will know. The more that you learn, the more places you’ll go”.

 

Jadi adakah tabiat membaca ini akan berlaku secara automatik atau magis dalam diri seseorang itu? 

Jawapannya tidak! 

 

Membaca merupakan satu tabiat yang perlu dipupuk dan diterapkan dalam diri seseorang dan sebaiknya ia dilakukan sejak dari usia yang kecil lagi. 

 

Jarang sekali kita dapat lihat tabiat membaca dibina dalam tempoh semalaman atau dalam waktu yang terlampau singkat. 

 

Jadi macam mana kita boleh terapkan semangat ingin membaca dalam anak-anak yang usianya masih kecil? 

 

Bukankah kita sudah dimomokkan bahawa buku itu membosankan, tidak ‘fun’ atau menarik jika hendak dibandingkan dengan permainan lain atau aktiviti lain.

 

Maka disini kami senaraikan buat pembaca semua,
5 Cara Memupuk Minat Anak Membaca Dari Usia Kecil :


Membaca Sebagai Satu Aktiviti, Bukan Hukuman

 

Pernah tak kita diberitahu kalau kita melakukan apa-apa kesalahan kita akan dihukum untuk membaca buku dan tidak dibenarkan bermain atau menonton TV? 

 

“Ahmad kenapa dapat markah rendah sangat untuk subjek Matematik ini? Sebagai hukuman, Mama nak Ahmad baca buku sahaja dan tidak boleh tonton TV atau pergi bermain di luar rumah!”. 

 

Ini merupakan contoh perbualan yang mungkin kita sendiri pernah alami ketika kanak-kanak dahulu. 

 

Kita telah dimomokkan bahawa membaca merupakan satu hukuman dan ianya tidak memberikan rasa seronok langsung dalam buat diri kita. 

 

Ibu bapa seharusnya lebih mengalakkan anak untuk membaca dengan menggunakan strategi yang berlainan seperti memberitahu anak bahawa terdapat banyak lagi bahan atau buku lain yang menyeronokkan untuk dibaca seperti komik, novel grafik, majalah dan banyak lagi.


Lawatan ke Perpustakaan & Kedai Buku

 

Persekitaran dan pendedahan awal kepada suasana perpustakaan dan kedai buku sejak usia yang kecil sebenarnya dapat membantu untuk meningkatkan lagi tabiat membaca dengan syarat ianya dilakukan secara berkala. 

 

Sebagai contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak ke kedai buku dua kali dalam sebulan dan membawa mereka ke perpustakaan berdekatan rumah sebanyak satu kali dalam sebulan sekurang-kurangnya. 

 

Apabila kanak-kanak didedahkan dengan aktiviti ini semenjak dari usia yang kecil, secara tidak langsung apabila mereka dewasa nanti pasti kedai buku dan perpustakaan menjadi pilihan hati mereka untuk meluangkan masa bersendirian atau bersama rakan-rakan yang lain. 

 

Ibu bapa juga boleh memberitahu anak-anak bahawa jika mereka cepat menghabiskan bacaan mereka yang sedia ada, mereka akan berpeluang untuk ke kedai buku atau perpustakaan dengan lebih kerap dan ini dapat meningkatkan lagi minat mereka dalam membaca dan mengunjungi tempat-tempat tersebut.

 

Mini Library di Rumah

 

Dengan menyediakan ‘mini library’ atau perpustakaan mini di rumah, ibu bapa bukan sahaja dapat memastikan anak-anak sentiasa mempunyai akses terbuka kepada buku-buku tetapi ibu bapa juga dapat memberikan anak motivasi luaran untuk menarik minat mereka membaca buku di rumah.

 

Ibu bapa tidak perlu mengeluarkan wang ringgit yang banyak dalam menyediakan ruang perpustakaan mini di rumah kerana yang penting adalah bagaimana ruang itu boleh digunakan dengan sebaiknya. 

 

Perabot-perabot yang seharusnya ada untuk menunjukkan ciri-ciri atau aura sebuah perpustakaan mini di rumah adalah rak buku dan satu ruang bacaan yang selesa untuk seisi keluarga. 

 

Ibu bapa boleh memanfaatkan satu ruang kecil di bahagian rumah untuk dijadikan sebagai tempat anak-anak berkumpul dan membaca buku bersama-sama atau pada bila-bila masa sahaja mereka inginkan. 

 

Anak-anak pasti akan lebih bersemangat jikalau perpustakaan mini dan ruang bacaan mereka dihiasi dengan hiasan yang menarik dan cantik.


Minat Anak Sebagai Titik Permulaan

 

Setiap anak pasti ada minat mereka yang tersendiri. 

 

Sebagai contoh, mungkin ada anak yang meminati robot ataupun apa-apa yang berkait rapat dengan haiwan seperti dinosaur. 

 

Manakala mungkin ada anak perempuan yang mempunyai minat terhadap jenis-jenis kereta api. 

 

Sebenarnya ibu bapa boleh memanfaatkan minat anak-anak mereka dalam menjadikan ia sebagai satu titik permulaan untuk menarik minat anak bagi memulakan aktiviti membaca buku.

 

Ibu bapa boleh mengesyorkan beberapa buah atau jenis buku yang mempunyai kait rapat dengan apa yang diminati oleh anak mereka. 

 

Sebagai contoh, apabila anak mereka meminati apa jua perkara yang mempunyai kaitan dengan haiwan, ibu bapa boleh menarik minat anak mereka dengan membelikan buku-buku atau majalah yang mempunyai penjelasan lanjut bagi setiap jenis haiwan yang mereka minati. 

 

Ini akan membantu ibu bapa bagi memastikan anak-anak untuk membiasakan diri mereka dengan membaca bahan bacaan seperti buku, majalah dan lain-lain.


Contoh Baik Untuk Anak-Anak

 

Ada peribahasa yang mengatakan 

 

“Kemana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi” 

 

yang membawa maksud baik atau buruk kelakuan atau tingkah laku yang dipamerkan oleh ibu bapa sedikit sebanyak akan dituruti oleh anak-anak mereka. 

 

Justeru itu, ibu bapa seharusnya menjadi watak-watak utama yang menarik minat anak-anak untuk membaca dengan menunjukkan terlebih dahulu yang mereka juga merupakan individu yang suka membaca.

 

Walaupun realiti yang tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa merupakan insan yang sibuk dan mempunyai masa yang sedikit sahaja untuk berehat dari hal-hal kerja, tetapi ia seharusnya tidak menjadi halangan utama bagi mereka mencuba untuk mempamerkan tingkahlaku membaca di hadapan anak-anak mereka. 

 

Membaca tidak perlu mempunyai satu masa yang tetap atau spesifik. Membaca boleh dilakukan dimana-mana sahaja dan ia tidak kira tempat. 

 

Seorang ayah dapat memberikan teladan yang baik dengan membaca akhbar di hadapan anak-anak manakala seorang ibu mungkin boleh membaca buku ketika waktu lapang pada hujung minggu di rumah bersama keluarga.

 

Pokoknya, budaya membaca harus diterapkan dalam setiap isi rumah kerana ia tidak dapat dinafikan bahawa amalan membaca dapat memberikan pelbagai faedah dan manfaat kepada diri seseorang itu.

 

Macam mana?

Dapat belajar sesuatu untuk memupuk minat anak membaca dari usia kecil?

 

Kaedah ini telah membantu ramai ibubapa memupuk minat anak mereka membaca dari usia kecil.

 

Percayalah, jika ia dilakukan dengan berterusan. Anak anda akan membesar sebagai bangsa membaca dan seterusnya menjadi orang berpengetahuan tinggi.

 

Mereka yang berpengatahuan tinggi jarang menyelesaikan cabaran hidup dengan emosi kerana mereka sedar setiap cabaran ada penyelesaian yang telah ditulis oleh orang terdahulu

 

Banyak lagi ciri-ciri orang berjaya ada pada bangsa membaca. 

Kami doakan ibubapa dapat mengamalkan cara-cara yang kami berikan di atas dan memupuk minat anak anda membaca dari usia kecil

 

Selamat membaca!

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *